Botani Etlingera elatior

Pokok dan daun

Akarnya jenis rimpang tebal yang menjalar di bawah tanah.[7] Akar mudanya berwarna merah jambu, akar yang tua dan matang berwarna kuning air. Rimpangnya mengeluarkan banyak tunas.[5] Pokok kantan sesuai tumbuh di kawasan berdekatan sumber air.[8]

Pucuk daun kantan tumbuh daripada rimpang selepas 18-22 hari.[9] Helai daunnya berbentuk bulat panjang dan kasar dengan ukuran lebar kira-kira 0.20–0.915 meter (0.66–3.00 ka) panjang;[10] 15-30 helai daunnya disusun dalam dua baris dan berselang seli. Pangkal daun berbentuk bulat atau jantung, tepinya berlekuk dengan hujung yang pendek dan meruncing. Pangkal ini gondol dan berwarna hijau menggilap tetapi berbintik halus dan rapat. Sisi bawahnya sering berwarna keunguan ketika muda.[11]

Pucuk ini tahan selama kira-kira 70 hari dengan ketinggian 3-5 meter.[9][7] Pokok kantan yang tua menumbuhkan rumpun batang pokok yang banyak tetapi tidak padat. Batang-batang tuanya menyerupai batang pokok halia atau lengkuas.[7]

  • Pokok-pokok kantan yang tinggi.

Bunga

Bunga muncul dalam jambak berbentuk gasing dengan bertangkai panjang, ukurannya 0.5-2.5 m kali 1.5-2.5 sentimeter. Jambak bunga kantan boleh terdapat dalam warna merah, merah jambu, ungu dan putih.[5] Kudupnya berubah warna selepas empat hingga tujuh hari.[8]

Daun pelindungnya berbentuk jorong dengan ukuran 7–18 sentimeter panjang dan 1–7 sm lebar, ia berwarna merah jambu hingga merah terang. Kelopak bunga berbentuk tabung panjang 3-3.5 sm dengan hujung yang terbelah tiga. "Bibir" lebar kelopak-kelopaknya (labellum) berbentuk seperti sudip dengan ukuran sekitar 4 sm panjang, berwarna merah terang, dan ada tepi berwarna putih atau kuning.[11]

Bunga kantan kembang selepas lebih kurang 50 hari.[9]

  • Kuntum bunga kantan yang baru terbuka
  • Kuntum bunga kantan yang mengembang penuh

Buah dan biji

Buahnya muncul dalam kapsul hampir bulat berbulu halus dan pendek di luarnya dengan diameter 10–20 sm, buah tersebut hijau dan menjadi merah atau kuning apabila masak.[5] Buah ini berisi biji perang kehitaman yang banyak, setiap butir mempunyai diameter 2-2.5 sm dengan selaput putih bening atau kemerahan yang berasa masam.[11]